Melawat lokasi menarik di Banting Selangor: Masjid Sultan Alaeddin

Hari ini, tarikh 24 Disember 2017 saya bersama suami dan anak ke Banting untuk meraikan kenduri aqiqah anak saudara. Lebih kurang pukul 4 petang  kami bertolak balik, tiba-tiba suami sebut pasal rumah api Jugra. Dia macam berminat nak pergi tengok. Dia juga bercadang nak tengok tempat-tempat bersejarah lain yang ada di Banting.

Saya pulak kalau ada orang dah offer jalan-jalan, apa lagi, takkan menolak punya. Sejak fokus blog ini sebagai blog travel dan cuti-cuti Malaysia, kaki ni rasa ringan je nak jalan-jalan ahaha. Sambil jalan boleh ambil gambar dan kongsikan maklumat tentang tempat-tempat menarik. 



Tempat pertama kami ke Masjid Sultan Alaeddin atau nama lain dia Masjid Sultan Alauddin yang terletak di Kampung Bandar, Jugra, Kuala Langat. Kami sempat menunaikan solat asar di sini.

Dari segi kisah sejarahnya, ia telah dibuka oleh Sultan Alaeddin Sulaiman Shah Ibn Raja Muda Musa iaitu Sultan Selangor ke 5, pada tahun 1905. Masjid ini tidak jauh dari Istana Bandar dan ia telah dijadikan oleh sultan sebagai tempat menunaikan solat jumaat. 





Masa kami datang tadi proses ubahsuai sedang berjalan dengan rancak. Ada bangunan baru, yang menempatkan tandas telah ditambah. Kelihatan bangunan masjid dicat dengan warna putih bersih. Dari carian saya di google, warna asalnya sebelum ini warna kuning keemasan.

Dipercayai pembinaan bangunan masjid ini mendapat pengaruh dari kerajaan Deli di Medan, Sumatera Utara dan dikatakan rekabentuknya sedikit menyamai  bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur terutama di bahagian kubah dan gerbang. 


Yang menariknya Masjid Sultan Alaeddin telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapaktanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada tarikh 24 Julai 1980. 

Ia juga telah didaftarkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada tahun 2008 oleh Jabatan Warisan Negara.

Pada pendapat saya kewujudan istana ini memang sesuatu perkara yang menarik. Di tengah-tengah kampung boleh ada sebuah masjid yang indah rekabentuknya dan sarat dengan nilai-nilai sejarah dan masih utuh walaupun telah lebih seratus tahun kewujudannya


Anda boleh dapatkan maklumat lanjut tentang Masjid Sultan Alaeddin di sini http://www.visitselangor.com/masjid-sultan-alaeddin/ dan www.padat.gov.my- Masjid Sultan Alaeddin.

Selepas melihat-lihat di sekitar masjid Sultan Alaeddin kami ke Istana Bandar dan Muzium Insitu Jugra. Insha Allah saya akan kongsikan di entry lain pula. 

Post a Comment

0 Comments