Hati-hati, musim tengkujuh sudah tiba

Masuk saja bulan November, seperti biasa seperti yang berlaku setiap tahun (dengan izin Allah), musim tengkujuh pun tiba. Boleh dikatakan hampir setiap hari hujan lebat disertai dengan ribut petir.  Musim tengkujuh sinonim dengan pantai timur kerana bahagian pantai timur Malaysia yang paling ketara menerima hujan, yang tiba sekali dengan fenomena banjir. Tetapi boleh dikatakan negeri-negeri di Malaysia di bahagian pantai barat dan utara juga mengalaminya. Saya duduk di Bangi, Selangor. Di sini juga hujan setiap hari. Petir dan guruh berdentam-dentum. Hujan lebat dengan petir sekali. Itu yang merisaukan. Dengar saja bunyi guruh, saya akan padam semua peralatan  dan bekalan eletrik yang tak penting. Contohnya televisyen, mesin basuh, laptop, wifi dan lain-lain. Kalau tengah charge handphone, saya offkan dulu dan letak handphone jauh-jauh.   Duduk diam-diam di atas katil di bilik.  Semua kerja-kerja saya berhentikan. Kalau memasak pun saya akan tutup api dulu. Sebab tempat memasak berdekatan dengan tingkap dapur. Kalau boleh saya elakkan masuk toilet atau bilik, tak buka pili air sampailah guruh dan kilat dah pergi jauh. Kalau dah terdesak sangat tu lain cerita ye hahaha.

Di Selangor, antara pattern yang saya perhatikan, hujan lebat dan ribut petir akan berlaku setiap waktu petang lebih kurang jam 3 petang ke atas. Jadi saya akan bersiap-siap selesaikan segala urusan pada waktu pagi. Contohnya beli barang keperluan dapur, saya akan pastikan pergi ke kedai sebelum jam 2 petang.
Jadi kepada para suri rumah, selesaikan segala urusan pada waktu pagi. Nak basuh baju ke, nak sidai baju ke, nak pergi kedai ke. Tapi kalau ada perkara yang tak boleh dielak juga, contohnya  nak ambil anak dari sekolah petang. Tu tak boleh nak buat apalah.


kredit gambar: astroawani.com


Sedikit tips menghadapi musim tengkujuh

1. Pesan pada anak-anak, jangan keluar rumah bila nampak tanda-tanda nak hujan. Keadaan hujan lebat berserta dengan guruh dan petir adalah sangat berisiko terutamanya bila anak-anak bermain di kawasan lapang atau kawasan berhampiran dengan pokok. Juga kawasan yang mudah dinaiki air dan akan berlaku air deras seperti sungai-sungai.


2. Rancang aktiviti harian dan destinasi percutian dengan sebaik-baiknya. Elakkan masuk ke kawasan yang kemungkinan besar akan banjir bila hujan lebat. Contohnya, bandar Kajang selalu mengalami banjir kilat bila hujan lebat. Elakkan masuk ke kawasan ini bila nampak tanda-tanda akan hujan.

Kalau bercuti, cari maklumat di internet dan elakkan destinasi yang kerap  banjir atau kemungkinan akan banjir.

3. Jauhi kawasan perkelahan air terjun. Sangat berbahaya kerana fenomena kepala air akan berlaku di kawasan air terjun apabila hujan lebat. Terlalu banyak kes orang awam lemas dan dihanyutkan air sungai deras kerana mandi manda di kawasan air terjun semasa hujan turun.

Fenomena kepala air berlaku dengan sangat pantas hinggakan kadang-kadang mangsa tidak sempat lari menyelamatkan diri. Nauzubillahiminzalik. Sama-sama kita beringat.

Jom kita sama-sama menjaga keselamatan diri dan keluarga. Insya Allah, semoga dipermudahkan segala urusan kita.

p/s: Semasa saya sedang menulis artikel ini, guruh dahpun berbunyi dari kejauhan. Kena tutup laptop nampak gayanya.
Previous
Next Post »