Saya hampir dilanda kemurungan selepas bersalin II

Teks: Nur Sabrina binti Mohd Arip

Pagi-pagi esoknya saya menyedari ada panggilan dari hospital sebanyak dua kali. Sekali pada jam 2 pagi tapi saya tak sedar dan sekali lagi pada jam 6 pagi. Berderau hati saya. Kenapalah hospital panggil kami pagi-pagi buta macamtu. Lantas suami saya terus hubungi hospital dan mereka menyatakan doktor nak jumpa. Kami berdua terus bersiap-siap ke hospital dan cuba bertenang. Tapi dalam hati Allah saja yang tahu. Sesampai di NICU, saya menyuruh suami saya cari Sumayyah kerana pada waktu itu hati saya berdebar sangat kencang. Macam-macam yang terlintas di fikiran.  Suami saya cari di tempat biasa Sumayyah berada, tapi pagi itu dia  tiada di situ!. Ya Allah berdebarnya. Mana anak saya ni???
Tiba-tiba seorang jururawat cakap pada kami, "anak encik ada kat depan". Di bahagian depan tu rupanya di zon kritikal. Pada tubuh Sumayyah sudah dipasang bermacam-macam drip dan tube berselirat di sana-sini. Tunggul tali pusat sudah dipotong dan telah dimasukkan air gula. Cara ini dibuat kerana air gula yang dimasukkan melalui saluran darah pada tangannya tak berkesan untuk menstabilkan gula dalam darah.

Doktor kata terpaksa tidurkan Sumayyah sebab banyak kali dia sawan malam tadi jadi doktor nak elak dia kena sawan lagi. Doktor nak jumpa sebab nak ambik kebenaran kami untuk ambil air tulang belakang. Kerana dia sawan, dikhuatiri ada jangkitan di selaput otak. Suami ajak saya berbincang kejap. Waktu tu pula saya dah tak mampu nak fikir banyak-banyak, saya hanya mahu Sumayyah sihat saja. Buatlah apa cara rawatan, yang penting Sumayyah sihat. Itu ikhtiar saya dan saya letakkan pergantungan kepada Allah mudah-mudahan Sumayyah sembuh. Memang sebelum ni banyak kali saya dengar orang cakap jangan bagi kalau doktor nak ambil tulang belakang. Tapi saya tak  peduli. Bagi saya usaha itu ada bermacam cara. Yang menyembuhkan Allah SWT. Saya taknak kerana keengganan saya Sumayyah terima akibatnya. Air tulang belakang diambil untuk mengenalpasti jenis kuman apa yang menyerang supaya rawatan tepat dapat diberi berdasarkan jenis kuman. Dalam masa yang sama , rawatan antibiotik sudahpun dimulakan yang memgambil masa selama 14 hari.

Setelah selesai urusan di hospital, kami pun meninggalkan Sumayyah di NICU dengan hati yang rawan. Saya sangat rindukan anak saya tu. Rindu nak dengar suaranya, rindu nak menyusukan dia, rindu nak peluk dan cium tapi buat masa itu memang kami tak dapat nak buat begitu memandangkan keadaan dia yang intubated. Susu pun nurse bagi melalui tube, tapi saya bersyukur, masih dapat memberikan Sumayyah dengan susu saya sendiri (EBM).

Di rumah, saya hanya menangis saja. Saya lagi selesa berada di bilik  dan menangis sepuasnya. Ada orang nak datang ziarah tapi waktu tu saya tak mahu dengan sesiapapun. Suami pula tak jemu-jemu bagi kata-kata semangat dan sokongan. Saya rasa hidup saya suram dan gelap tanpa Sumayyah di sisi tambahan pula saya terbayang-bayang keadaan dia yang intubated di NICU. Keluarga saya, mak, abah dan mak mertua pun tak jemu-jemu bagi sokongan. Ya saya terlalu ikutkan perasaan. Entah macam mana, saya tersedar dan terdetik di hati yang saya tak boleh berterusan macamni. Melayan kesedihan secara berlarutan adalah amat  tidak baik untuk kesihatan emosi dan psikologi. Saya katakan pada diri, saya harus bangkit dari kesedihan ini. Saya bangun dan buka lampu, buka tv dan buka laptop. Bila suasana terang dan bising, automatik perasaan dalam hati sedikit berubah. Saya juga melafaskan selawat secara berterusan. Alhamdulillah, hati saya lebih ceria berbanding sebelumnya. Saya kemas barang-barang yang ada dalam beg dan sibukkan diri dengan mengemas rumah mana yang mampu walaupun saya sedar yang saya baru lepas bersalin, dan perlu berehat, tapi saya tak boleh duduk saja. Berdiam diri akan menyebabkan diri tenggelam dalam kesedihan. Suami waktu tu memang tiada di rumah kerana hantar kereta ke bengkel (kami hampir kemalangan semasa dalam perjalanan ke hospital).

Alhamdulillah, selepas saya 'bangkit' hati lebih lega dan ceria. Saya meneruskan rutin saya menyiapkan bekalan EBM untuk anak saya. Bermula hari itu, maka menjadi rutin kami setiap hari melawat Sumayyah di NICU. Setiap kali melawat, Sumayyah hanya dalam keadaan tidur saja. Sungguh, rindu pada dia tak dapat ditahan lagi. Memang setiap hari lepas pulang dari NICU pasti saya menangis. Pada masa itu, saya belum rooming-in lagi di NICU  kerana Sumayyah intubated dan katil untuk ibu-ibu di sana perlu didahulukan untuk ibu-ibu yang menyusu anak secara direct.

Insya Allah, di entry akan datang saya akan kongsikan sedikit pengalaman menemani anak di NICU selama 14 hari dan tips untuk ibu jika anak dimasukkan ke NICU. 
Previous
Next Post »