Pengalaman menemani anak di NICU Hospital Serdang

Teks: Nur Sabrina Binti Mohd Arip

Sejak dari hari tersebut, maka bermulalah rutin kami melawat Sumayyah setiap hari. Saya tidak boleh rooming in lagi memandangkan Sumayyah masih intubated.

Setiap kali melawat Sumayyah, mesti dia dalam keadaan tidur kerana doktor beri ubat sawan padanya. Setiap kali kami datang, kami cuba dapatkan perkembangan terbaru dari doktor, dan kami perhatikan perkembangannya. Suami datang dari medical line, jadi dia lebih banyak faham tentang perkembangan  Sumayyah. Memang kalau dia berbincang dengan doktor, keluar banyak term-term medical yang saya tak berapa faham. Lepas berbincang, suami akan cerita balik pada saya.

Berkampung di NICU

Saya masih ingat, pada hari Ahad, hari Pilihanraya Umum 2014, setelah selesai menunaikan tanggungjawab mengundi, kami melawat Sumayyah, pada waktu itu dia sudah tidak intubated dan berada di zon mula-mula Sumayyah ditempatkan. Nurse minta saya untuk menginap di bilik ibu-ibu supaya mudah untuk menyusukan Sumayyah.. Pada waktu itu, doktor mahu lihat perkembangannya tanpa dirawat dengan air glukos, hanya susu saja. Memang Sumayyah masih hypo. Kata nurse, Sumayyah tak boleh lewat diberi susu. Lambat sikit saja, pasti bacaan gulanya jatuh mendadak. Memandangkan Sumayyah tidak lagi intubated, saya buat keputusan untuk rooming in. Saya harus berada di situ menemani Sumayyah agar dia cepat sembuh. Suami pun sangat bersetuju. Dia kata kehadiran ibu mempercepatkan kesembuhan anak.

Sememangnya saya rasa sedih kerana mulai hari itu, saya akan berkampung di wad untuk tempoh yang agak lama kerana Sumayyah belum boleh keluar lagi. Tempoh rawatan antibiotiknya masih berbaki beberapa hari lagi, tambahan lagi bacaan gula dalam tubuh pun belum stabil. Saya boleh saja nak tinggalkan Sumayyah, biar saja nurse dan doktor merawat dia. Tapi saya tak boleh mementingkan diri dan tak tahan menanggung rindu pada Sumayyah. Kalau saya membiarkan dia dirawat tanpa kehadiran saya, saya sendiri tak pasti adakah betul mereka memberikan Sumayyah EBM. Saya risau sekiranya nurse terlupa, maka diberinya susu formula pada Sumayyah. Saya juga percaya kehadiran ibu, bau, sentuhan tangan dan pelukan ibu akan memberikan satu tenaga untuk Sumayyah segera sembuh.

Semakin sembuh

Malam pertama saya berada di NICU, saya masih ingat lagi Sumayyah menyusu dan menghisap secara direct dari saya dengan jayanya. Saya pernah cerita sebelum ni yang Sumayyah tak berdaya nak menghisap kerana kekurangan tenaga. Alhamdulillah, kali ini dia berjaya melakukannya, mungkin kerana ada tenaga dari  glukos yang disalurkan kepada dia. Waktu tu memang glukos masih disalurkan kepada Sumayyah menggunakan infusion memandangkan waktu itu bacaan gulanya masih rendah. Syukur tak terhingga dan saya ceritakan pada suami melalui sms. Suami pun gembira dan memberikan saya sokongan supaya meneruskan usaha menyusukan Sumayyah secara direct (sebelum itu banyak menggunakan syringe). Selepas menyusu, nurse ambil bacaan gula dan alhamdulillah, bacaannya naik ke paras normal. Bila Sumayyah tidur, saya pun kembali ke bilik ibu-ibu. Waktu inilah waktu untuk saya berehat kerana dua jam lagi saya perlu menyusukan Sumayyah sekali lagi. Rutin saya, setiap 2 jam akan pergi pada Sumayyah untuk menyusukan dia. Pernah sekali tu, selepas selesai menyusukan Sumayyah pada jam 12 malam, saya kembali ke bilik ibu-ibu untuk melelapkan mata. Pada jam 2 pagi saya harus bangun untuk menyusukannya sekali lagi. Allahuakbar, saya terlajak dan bangun pada jam 4 pagi!.
Bila tersedar, saya sangat kelam kabut dan cepat-cepat pergi pada Sumayyah. Saya panik dan saya mengejutkan dia. Saya paksa Sumayyah hisap, dan waktu itu nurse datang untuk ambil bacaan gula. Jatuh pada 2.2. Nurse kata, lain kali tak boleh lambat-lambat bagi dia susu. Rasa nak menangis. 

Saya paksa dan terus cuba. Saya hampir-hampir nak bagi Sumayyah melalui syringe, tapi saya cuba lagi. Alhamdulillh ada hisapan walaupun lemah.

 Begitulah rutin saya di sana. Menyusukan, tukar lampin, tukarkan baju. Bila Sumayyah tidur, saya berehat dan menguruskan diri, mandi, makan dan sebagainya. Keesokannya, prestasi bacaan gula Sumayyah meningkat. Kalau sebelum ni, bacaan gulanya naik tapi paras hidung. Tetapi kali ni, setiap kali lepas Sumayyah menyusu, bacaan gulanya meningkat jauh lebih baik dari sebelum ni dan semakin hari semakin stabil. Dalam 4 hari, bacaan gulanya sudah mula stabil dan dalam beberapa hari kemudian, nurse dan berhentikan pengambilan bacaan gula atas arahan doktor. Benarlah, kehadiran ibu mempercepatkan penyembuhan bayi, dengan izin Allah. 

Rawatan disambung

Cukup hari ke 14 rawatan antibiotik Sumayyah, dan di saat bacaan gulanya sudah stabil, saya diuji lagi. Allahuakbar. Sungguh saya sangat tak sabar untuk pulang ke rumah. Melihat dunia luar, melihat luasnya alam ciptaan Allah. Melihat wajah ahli keluarga yang lain. Rindu untuk bertemu suami, tapi Allah belum izinkan lagi. Pasti ada hikmah.  Sumayyah demam dan doktor tak membenarkan Sumayyah pulang. Rawatan antibiotik perlu disambung lagi. Kali ini antibiotik yang diberi akan dilihat kepada perkembangan positif bayi. Sekiranya bayi semakin sihat, bayi dibenarkan keluar. Sekiranya tiada perkembangan positif, bayi perlu ditahan dan disambung lagi rawatan antibiotik dan diberikan antibiotik yang lebih kuat.  Lupa saya nak ceritakan yang Sumayyah menerima rawatan jangkitan meningitis. 


Kesedihan hati

Perasaan saya juga sama macam ibu-ibu yang lain. Bila anak dicucuk untuk dimasukkan ubat, hati saya sangat sedih bila melihat Sumayyah menangis kesakitan. Boleh dikatakan setiap hari uratnya bengkak dan doktor terpaksa gantikan line yang baru.

Saya pernah menangis bila balik saja dari jumpa doktor, air mata Sumayyah bercucuran. Begitulah yang berlaku, selama 21 hari, hampir setiap hari dicucuk. Maklumlah bayi memang lasak. Kaki dan tangannya kan tak boleh duduk diam, tak macam kita.

Rawatan antibiotik Sumayyah disambung lagi untuk beberapa hari. Saya tak tabah, tapi saya perlu tabahkan hati. Mujur ada beberapa orang ibu yang rajin berbual dan peramah. Sekurang-kurangnya saya taklah sunyi.

Tapi ada satu hari tu yang membuatkan saya sangat sedih, bilamana bilik yang dihuni hampir 12 orang itu yang tinggal hanyalah saya seorang. Semuanya sudah keluar kerana anak masing-masing dibenarkan discharge.

Kebanyakan anak merela ditahan kerana jaundice dan biasanya tempoh rawatan di NICU mengambil masa dalam 2-3 hari. Ibu-ibu yang agak rapat dengan saya pun sudah keluar. Memang akan ada pengganti tapi kemeriahan bilik itu tak sama dengan sebelumnya dan perkenalan baru perlu dibina semula.

 Saya masih ingat lagi, semua katil dah kosong, yang tinggal hanyalah katil saya seorang yang masih ada penghuni. Rasa sedih tak tertahan lagi lalu saya menangis dan terus saya sms pada suami " orang kat sini silih berganti datang dan pergi, tapi Sabrina masih lagi kat sini...sedihnya".. dan suami saya membalas "Sabrina sabar dan usaha ya. Insya Allah giliran kita akan tiba.

Kalau ikutkan hati, memang mahu saja bawa Sumayyah keluar, tetapi saya tak boleh ikutkan hati. Saya perlu tabah dan kuatkan hati. Selama 7 hari tak melihat dunia luar, masa dirasakan berjalan terlalu lambat.

Saya tak punya smartphone yang membolehkan saya menggunakan internet. Hiburan saya pada waktu tu, majalah dan zikir pengubat hati. Ada di antara nurse yang peramah dan kelakar, sedikit sebanyak mengubat hati saya yang lara.

Makanan dan pakaian di NICU

Alhamdulillah, makanan yang disediakan di sini ok. Makanan disediakan 3 kali sehari. Sarapan, makan tengahari dan malam. Saya makan saja tanpa banyak soal. Makanan yang dikatakan tak baik untuk ibu berpantang saya jauhkan, contohnya kangkung.

Apa yang saya boleh makan dan berkhasiat saya teruskan seperti ayam dan sayuran hijau. Pakaian pula saya pakai seperti pakaian di rumah, yang selesa untuk ibu yang sedang dalam pantang. Apa dia? Semestinya baju yang longgar dan mudah untuk menyusukan dan juga kain batik. Ibu-ibu yang lain pun sama juga.

Pernah sekali, saya hanya berkain batik dan blouse saja ke kafe. Memang ada yang memandang pelik, tapi saya tak peduli. Hahaha.

Di sini saya perlu sentiasa menjaga aurat walaupun di bilik kerana kadang-kadang doktor lelaki masuk tanpa beri sebarang amaran. Ada juga kaum bapa yang datang melawat duduk di depan pintu menunggu isteri masing-masing. 

Keadaan di NICU

NICU dibahagikan kepada beberapa zon. Zon untuk bayi lahir cukup bulan, bayi pramatang, zon kritikal dan zon recovery.

Bayi cukup bulan diletakkan dalam baby cot, manakala bayi pramatang diletakkan dalam inkubator. Inkubator pula ada beberapa jenis. Sekiranya bayi itu berada dalam keadaan yang sangat-sangat tidak stabil, inkubatornya complicated dan penjagaan rapi dan teliti sangat-sangat dititikberatkan.

Kebanyakan bayi di zon bayi pramatang, saiz mereka sangat kecil dan bergantung kepada mesin oksigen. Nurse memberi mereka susu melalui tube dan inkubator sekali sekala saja dibuka bila tiba saat untuk beri susu, tukar lampin dan sebagainya.

Zok kritikal pula biasanya melibatkan bayi yang memerlukan mesin oksigen dan alat-alat lain yang lebih complicated bergantung kepada jenis rawatan yang diberikan. Di sini ada bayi yang berada dalam keadaan.koma dan 100% bergantung kepada mesin oksigen. Ada bayi yang menerima rawatan 3 bulan kerana dilahirkan terlalu kecil dan sangat pramatang. Saya sempat bertemu beberapa orang ibu yang mempunyai anak sebegini. Allahuakbar, mereka sangat tabah. NICU sudah menjadi seperti rumah mereka sendiri. Setianya mereka berada di sini demi memberikan susu ibu serta sokongan untuk perkembangan dan kesembuhan anak masing-masing.

Zon recovery pula untuk bayi-bayi yang menunjukkan perkembangan yang positif. Sekiranya diizinkan oleh doktor bayi tersebut boleh bersama ibu di bilik penginapan ibu. Jadi tidak perlulah ibu berulang dari wad ke bilik. Bayi diletakkan di sebelah katil ibu. Di bilik ini, peraturan ketat di mana ibu tidak dibenarkan makan dan minum dan kebersihan sangat-sangat dijaga untuk mengelakkan jangkitan kuman.

Apa masalah yang dialami bayi-bayi di sini? Macam-macam. Ada yang jantung laju, ada yang mengalami masalah paru-paru, ada yang dilahirkan dalam tandas tanpa disedari ibu (ibu tak sedar pun yang dia sedang hamil), ada bayi yang  terkena jangkitan kuman, ada bayi yang mengalami jaundice (paling ramai). Ada bayi yang dilahirkan oleh ibu berstatus pelarian dan ibu tersebut sedang ditahan pihak berkuasa. Menurut nurse, ada bayi yang lansung tiada ibubapa atau penjaga datang menjenguk. Kasihan sungguh. Tentu dia rindukan belaian ibunya.

Suasana NICU? Bingit dan bising dengan tangisan bayi pada waktu-waktu tertentu. Yang uniknya, bila tidur, semuanya tidur serentak. Bila nangis, semuanya nangis serentak. Kelakar pulak rasanya. Seolah-olah saling mengetahui kawannya sedang menangis, dia pun nak join sekali menangis. Nurse pula dah immune barangkali, kerana sudah terlalu biasa dengan tangisan bayi, mereka buat biasa saja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Di sini, beri susu dan tukar lampin dan membersihkan bayi dilakukan secara berjadual. Sekiranya ibu ada bersama, maka tanggungjawab itu dilakukan oleh ibu bayi masing-masing.

Menerima tetamu

Suami datang melawat saya dan Sumayyah setiap hari. Ibu bapa saya juga kerap melawat kami, tetapi mereka hanya dibenarkan berada di luar wad sahaja. Pihak hospital tidak membenarkan pelawat memasuki NICU kecuali pihak yang berautoriti saja seperti ibubapa atau penjaga yang berhak.

Dibenarkan discharge

Setelah 21 hari, Sumayyah menunjukkan perkembangan yang baik, tiada demam, tiada sawan dan bacaan gula yang stabil. Ujian darah kali kedua (ujian kali pertama ada kuman E-coli),  dan ujian air tulang belakang mengesahkan tiada sebarang kuman di dalam darah dan di selaput otak. Ujian ultrasound juga dilakukan dan alhamdulillah tiada sebarang tanda yang menunjukkan Sumayyah sah terkena jangkitan meningitis. Syukur alhamdulillah. Berita ini membuatkan kami gembira. Tiada kata yang boleh diungkapkan. Pada hari Sumayyah dibenarkan keluar, saya benar-benar merasa bebas, setelah 14 hari berkampung di NICU. Saya pulang ke rumah dalam keadaan gembira, terharu dan syukur. Akhirnya anak saya kini berada di sisi kami, kami berada bersama-sama di rumah sebagai satu keluarga.

Saya sangat berterima kasih pada semua nurse dan doktor yang merawat Sumayyah di NICU Hospital Serdang. Semuanya baik-baik belaka dan saya berpuas hati dengan layanan yang diberi. Saya menghargai dan berterima kasih pada  jururawat yang menyedari Sumayyah sedang mengalami hypoglycemia, serta kekelam kabutan dan kecekapan mereka semua yang bersungguh-sungguh merawat Sumayyah.

Apa yang saya boleh katakan pengalaman ini membuatkan saya belajar erti kasih sayang, menghargai, menyayangi dan mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan. Sekiranya merasa susah dan sedih kerana ditimpa dengan sesuatu ujian, ada pihak lain yang diuji lebih teruk tetapi ketabahan mereka benar-benar mengagumkan. Hargailah setiap yang kita miliki pada hari ini, tetapi jangan lupa, ia hanyalah pinjaman sementara yang sampai satu masa akan dipulangkan kembali kepada pemilik yang hakiki.


Sumayyah di NICU, berusia 14 hari.

Sumayyah yang terkini, hampir menginjak usia setahun
Moga anakku diberikan kesihatan dan mudah-mudahan menjadi anak yang solehah. Moga diri ini terus menjadi hamba yang bersyukur. Amin ya Rabbal alamin.


==================

Anda ingin menambah ilmu tentang penyusuan susu ibu?

dapatkan buku yang menarik ini




Klik sini




Previous
Next Post »