Tentang travel dan tempat-tempat menarik

Jom shopping

Wednesday 19 March 2014

Usrah aktiviti para suri rumah

Saya masih ingat, semasa zaman saya kanak-kanak dulu, ibu bapa saya selalu bawa saya dan adik beradik menyertai program. Perkataan yang biasa disebut-sebut pada waktu itu adalah usrah dan rehlah. Saya masih ingat ibu bapa saya membawa kami adik beradik ke Desa Rhu di Johor untuk menyertai rehlah anjuran pertubuhan dakwah yang mereka sertai. Adakalanya ibu saya membawa saya menghadiri usrah di rumah rakan-rakanya di sekitar Muar.  

Kemudian, bila kami berpindah ke Negeri Sembilan, aktiviti ini tetap diteruskan. Selain usrah yang dianjurkan oleh pertubuhan dakwah, ibu saya juga selalu menyertai program usrah dalam kalangan isteri dan guru-guru wanita yang mendiami kuarters guru di sekolah di mana bapa saya mengajar. Setiap ahli usrah akan bergilir-gilir meenjadi tuan rumah untuk usrah bulanan yang diadakan. Rumah saya juga tidak ketinggalan. Saya selalu lihat ibu saya membentangkan permaidani di ruang tamu dan menyediakan juadah untuk jamuan ahli usrah. Saya tidak mengerti apa-apa pada waktu itu. Apa yang saya faham,. aktiviti mereka adalah berbincang dalam bentuk bulatan. Setelah selesai berbincang, mereka akan menikmati jamuan.

Bila saya semakin menginjak dewasa dan menyertai pertubuhan dakwah di institut pengajian tinggi di mana saya belajar, barulah saya tahu aktiviti tersebut adalah usrah. Usrah sememangnya ada disebut dalam sirah Rasululullah. Dakwah bermula dengan usrah dan usrah pertama yang diadakan oleh Rasulullah SAW adalah di rumah Al-Arqam bin Abi Al Arqam. 

Aktiviti usrah yang saya ikuti bermula dari zaman belajar sehinggalah kini, di waktu saya sudah berumahtangga dan beranak pinak. Jika di zaman belajar dahulu, ahli usrah terdiri dari rakan-rakan sepengajian, rakan-rakan serumah yang bujang. Kali ini, ahli usrah saya terdiri dari para isteri dan suri rumah. 

Lihat saja gambar di bawah. Usrah yang saya ikuti ini berjalan setiap dua minggu sekali dan diadakan bergilir-gilir di rumah ahli usrah. Kami akan bawa anak-anak bersama dan biarkan mereka dengan aktiviti mereka. Dalam pada itu, perbincangan tetap berjalan. Kehadiran anak-anak sedikit pun tidak mengganggu aktiviti kami. Saya sangat suka aktiviti usrah di mana aktiviti inilah saya dapat bertemu dan bersosial dengan rakan-rakan usrah yang lain. Kami juga berbincang dan berkongsi pelbagai ilmu dan maklumat dari intipati buku dan juga isu-isu semasa. Selain itu, kami juga berbincang tentang hal-hal kekeluargaan dan anak-anak.



Kepada suri rumah yang sedang membaca penulisan saya ini, yang merasakan hidupnya mendatar saja, bosan tiada aktiviti, saya sangat sarankan anda melibatkan diri dalam aktiviti surau berdekatan dengan anda atau menyertai mana-mana aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan olen NGO dan pertubuhan dakwah di kawasan anda. Percayalah yang perasaan bosan itu akan lenyap dari kamus hidup anda. Yang penting dapatkan izin suami dahulu ya :)


No comments:

Post a Comment